Rumusan tersebut dibuat berdasarkan tujuh bidang analisis utama yang dijalankan oleh pasukan tersebut iaitu lencongan pesawat dari laluan asal penerbangan, profil kru penerbangan, layak terbang, penyelenggaraan dan sistem pesawat, komunikasi satelit, maklumat bangkai dan impak pesawat, muatan kargo serta perkhidmatan trafik udara.

Ketua penyiasatnya, Datuk Kok Soo Chon berkata, tanpa pemeriksaan terhadap bangkai pesawat serta maklumat rakaman data penerbangan, penyiasatan tersebut tidak dapat mengenal pasti sebarang kegagalan sistem atau pesawat yang munasabah sehingga boleh membawa kepada penyahaktifan sistem, lencongan dari laluan asal penerbangan serta laluan seterusnya yang diambil oleh pesawat terbabit.

“Bagaimanapun, kekurangan bukti tidak menghalang pasukan penyiasat untuk menyingkirkan sebarang kemungkinan namun pihak penyiasat juga tidak menolak terdapat gangguan oleh pihak ketiga,” katanya pada sidang akhbar berhubung Taklimat dan Pengumuman Laporan Pasukan Penyiasat Keselamatan Annex 13 ICAO Malaysia Untuk MH370 di sini hari ini.

Pesawat MH370 hilang sejak 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing membawa 298 penumpang dan siasatan mendapati pesawat itu berakhir di dasar Lautan Hindi.

Dalam pada itu, Soo Chon berkata, laporan setebal 449 mukasurat yang dikeluarkan itu bukanlah laporan yang terakhir sebaliknya hanya menyentuh aspek keselamatannya dan saranan untuk meningkatkan tahap keselamatan udara di negara ini.

Jelas beliau, panel penyiasat telah memberikan beberapa saranan iaitu penambahbaikan sistem kawalan trafik udara luar negara dan Malaysia, imbasan Kargo, laporan kesihatan dan latihan kru penerbangan, laporan dan susulan keadaan kesihatan mental kru, sistem susulan, pembangunan rujukan segera kawalan operasi dan keberkesanan Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT). - K! ONLINE