Mohamed Azmin berkata, pihak Istana Selangor akan mengeluarkan kenyataan akhbar berkaitan kedudukan Menteri Besar yang disandangnya sejak 11 Mei lalu.

Katanya, keputusan mengenai kedudukan yang tersenarai sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi bagi Kerajaan Persekutuan juga diketahui esok.

"Pertemuan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berjalan lancar dan baginda amat gembira dengan penjelasan diberikan.

"Kita tunggu pukul 9 pagi esok apabila kenyataan akhbar akan dikeluarkan pihak Istana," katanya ketika ditemu pemberita selepas menghadap Sultan Sharafuddin di Istana Bukit Kayangan sebentar tadi 

Beliau juga enggan mengulas mengenai pengganti dirinya sekiranya tidak memegang jawatan Menteri Besar lagi.

"Banyak perkara dibincangkan termasuk aspek Selangor dan nasional (Kerajaan Persekutuan) tadi," jelasnya.

Terdahulu, Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Selangor itu dilihat memasuki perkarangan Istana Bukit Kayangan kira-kira pukul 11.50 pagi sebelum keluar dua jam kemudian.

Pertemuan dengan Sultan Sharafuddin itu berkaitan kedudukannya Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor selepas tersenarai dalam kabinet Kerajaan Persekutuan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi. -K! ONLINE