Ketua Pengurusan Bencana Negeri Selangor, Ahmad Fairuz Mohd. Yusof berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian keretakan berkenaan kira-kira pukul 10 pagi dan pemeriksaan awal yang dilakukan di lokasi telah menemui sebanyak 10 tanda-tanda keretakan. 

"Pemeriksaan lanjut yang dilakukan juga mendapati keretakan yang terdapat pada bangunan terbabit masih aktif jadi penduduk di sini disyorkan untuk berpindah daripada kediaman mereka sebagai langkah berjaga-jaga. 

"Arahan pengosongan telah dikeluarkan serta akan dikuatkuasakan bermula pukul 12 tengah malam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat juga telah dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara sekiranya diperlukan oleh penduduk," katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Menurut Ahmad Fairuz, kawalan keselamatan oleh pihak polis juga akan dilakukan bermula pukul 12 malam dan penduduk dinasihati agar mematuhi arahan yang telah dikeluarkan demi keselamatan masing-masing. 

"Diharap penduduk akur dengan arahan yang telah dikeluarkan kerana keselamatan nyawa harus dijadikan keutamaan. Kami tidak galakkan membawa barangan yang berat, cukuplah dengan hanya membawa barangan keperluan untuk sementara waktu.

Tinjauan Kosmo! ke lokasi mendapati kebanyakan penduduk telah berpindah ke penempatan sementara malah ada yang merancang untuk menetap di rumah saudara-mara setelah arahan pengosongan dikeluarkan. 

Seorang penduduk, Azlan Mahbol, 33, berkata, dia dimaklumkan tentang kejadian kira-kira pukul 11 pagi sebelum bergegas pulang ke rumah. 

"Saya telah dimaklumkan tentang penemuan keretakan di bangunan ini oleh persatuan penduduk sebelum bergegas pulang kerana bimbangkan keselamatan isteri serta dua anak saya yang berada di rumah. 

"Kami sekeluarga akan menetap di kampung saya di Kuala Selangor buat sementara waktu sehingga terdapat sebarang perkembangan kelak. Saya dimaklumkan pihak berkaitan akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk melengkapkan siasatan," katanya ketika ditemui di sini. - K! ONLINE