Beliau berkata penyelesaian segera perlu dicari bagi menangani isu itu selepas peruntukan sedia ada dalam undang-undang berkaitan dilihat tidak setimpal berbanding kesan daripada kesalahan tersebut.

"Sekiranya  aspek undang-undang sedia ada tidak cukup ketat, kita akan pertimbang untuk memperketatkannya selepas ini," katanya mengulas insiden empat lelaki maut dan seorang lagi patah kaki setelah dirempuh kereta dipandu pemandu mabuk di Tawau, Sabah pada Ahad lepas.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini selepas  melepaskan konvoi 22 peserta menggunakan kereta Porsche dari Putrajaya ke Bangkok, Thailand bagi menyertai  sambutan Ulang Tahun Porsche ke-70, Loke berkata beliau telah mengarahkan siasatan terperinci dibuat berhubung insiden itu dan mahu pendakwaan sepatutnya dilakukan.

Dalam kejadian kira-kira 1.15 pagi Ahad itu, kereta dipandu wanita mabuk dikatakan melanggar tiga buah kenderaan serta orang yang sedang melepak di kawasan Jalan Chong Thien Vun, Tawau.

Untuk rekod, ketika ini pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dituduh di bawah Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM6,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

Bagi  kesalahan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh didakwa di bawah Seksyen 43 akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan boleh juga dihukum penjara maksimum 12 bulan.

Sementara itu, Loke berkata beliau telah menyerahkan nama calon yang dicadangkan untuk mengisi jawatan pengerusi eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pengumuman pengerusi eksekutif yang baharu itu akan diumumkan perdana menteri  tidak berapa lama lagi* ini bagi memastikan kesinambungan operasi Mavcom tidak terganggu," katanya tanpa memperincikan bilangan calon dan nama individu yang diserahkan.

Sumber yang dekat  dengan Tan Sri Jen (B) Abdullah Ahmad sebelum ini dilaporkan  berkata pengerusi eksekutif  Mavcom itu akan meletak jawatan 

Mavcom menarik perhatian umum berikutan  gesaan syarikat penerbangan tempatan seperti AirAsia, Eaglexpress Air Charter Sdn Bhd dan Suasa Airlines Sdn Bhd agar suruhanjaya itu dimansuhkan kerana didakwa tidak memahami industri penerbangan berfungsi selain pendedahan  gaji dan elaun tinggi yang diterima Abdullah selaku pengerusi eksekutif iaitu kira-kira RM85,000 sebulan.

Loke berkata gaji pengerusi eksekutif baharu Mavcom akan dinilai semula. - Bernama