Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa sistem pendawaian sekolah berkenaan berada dalam keadaan  baik hasil pemeriksaan yang dilakukan jabatan itu tahun lepas.

"Kita masih menyiasat punca kebakaran sebenar meliputi semua aspek. Pihak kami mendapati sistem pendawaian di sekolah ini mengikuti SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan termasuk susun atur katil dua tingkat di dorm berkenaan yang turut mempunyai dua laluan kecemasan. 

"Pada tahun ini, inilah (kes) yang pertama melibatkan sekolah berasrama dan tahfiz (di Negeri Sembilan). Tahun lepas kita telah memeriksa semua sekolah tahfiz termasuk sekolah As Sofa ini dan ia berada dalam  keadaan baik," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian awal pagi ini, dua dorm yang menempatkan 85 pelajar lelaki STIAS 90 peratus musnah  dijilat api dalam kebakaran pada pukul 1.58 pagi. 

Norazam berkata, seramai 22 anggota termasuk lima pegawai dari tiga Balai Bomba dan Penyelamat  Rembau, Senawang dan Seremban dikerah ke lokasi kejadian. 

Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini pihaknya tidak dimaklumkan mengenai terdapatnya pelajar  yang cedera dalam kebakaran itu dan akan mendapatkan penjelasan daripada pihak pengurusan STIAS.

"Kita tak terima maklumat dari segi kecederaan dan masa kita sampai (di lokasi kejadian) tiada mangsa yang terlibat dan itu kita akan dapatkan kepastian daripada pengurusan. Apabila kita sampai, sebenarnya api telah marak dan memenuhi ruang asrama.

"Dalam blok ini ada dua dorm iaitu dalam 50 orang satu dorm dengan katil dua tingkat...keseluruhannya kita boleh katakan 90 peratus musnah dan semua barangan keperluan pelajar musnah terbakar," katanya.

 Dalam pada itu, beliau turut mengesyorkan kepada pengurusan sekolah-sekolah termasuk sekolah agama untuk kerap kali membuat latihan kebakaran bagi meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai langkah yang perlu diambil. - Bernama