Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, siasatan awal pihaknya mendapati punca kebakaran tersebut adalah disebabkan litar pintas.

"Kebakaran itu tidak mempunyai unsur jenayah dan siasatan awal kita mendapati ia berpunca daripada litar pintas.

"Bagaimanapun, siasatan lanjut masih kita jalankan untuk mengenal pasti punca kejadian sebenar," katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menerima sebuah van jenazah hasil sumbangan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng ataupun lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Mengulas lanjut, Norazam berkata, ketika kejadian kedua ibu bapa mangsa tiada di rumah kerana menyiapkan tempahan makanan untuk anggota yang bertugas memadamkan kebakaran sebuah kilang kimia di Pulau Indah.

"Kami JBPM Selangor merakam ucapan takziah kepada kedua ibu bapa keluarga mangsa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh mereka amat besar jasanya kepada pihak jabatan," ujarnya.

Kosmo! Online semalam melaporkan, dua beradik ditemui rentung dalam sebuah bilik tidur apabila rumah mereka di Jalan Utama Kampung Indah Banting, di sini terbakar.

Mayat kedua-dua mangsa, Nur Salsabila Mohd Fakrul Khair, 15, dan adiknya Nur Ain Sumayyah,13, ditemui kira-kira pukul 3 pagi. - K! ONLINE