Dalam kejadian kira-kira pukul 4.46 petang itu, Nor Akmal Alim, 23, yang merupakan tukang masak di gerai makan D'Bamboo House dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Tuan Mat Tn Dollah, 41, dihantar ke sebuah klinik berhampiran oleh orang awam.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Mohd. Syazwan Saidy berkata, seramai 18 anggota dari balai itu serta Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2 bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pukul 4.46 petang.

"Kebakaran memusnahkan sebuah bangsal yang menjadi tempat penyimpanan barang dan kerja pertukangan. Jarak bangsal itu hanya tiga meter dari gerai makan itu. 

"Bagaimanapun, kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 5.25 petang," katanya.

Mohd. Syazwan memaklumkan, berdasarkan saksi kejadian yang merupakan isteri pemilik kedai itu, satu dentuman kuat berlaku di bahagian belakang gerainya lalu dia yang berada di hadapan premis bersama dua anaknya bergegas ke dapur untuk melihat kejadian itu.

Cerita wanita itu lagi, dia melihat suaminya dan tukang masak wanita berkenaan cuba mengeluarkan tong gas yang sedang terbakar dan kedua-duanya cedera akibat melecur.

Tambah Mohd. Syazwan, punca kejadian masih dalam siasatan. - K! ONLINE