Menurut Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed, lelaki tersebut perlu melalui proses tapisan keselamatan terlebih dahulu sebelum diluluskan bagi memastikan dia tidak terlibat dengan sebarang kegiatan jenayah termasuk kumpulan pengganas Daesh.

“Kita perlu berhati-hati untuk membuat pertimbangan permohonan khususnya daripada rakyat Asia Barat yang sedang menghadapi peperangan. Ini bukan perkara mudah, kita pun tidak tahu latar belakang dia dan kejadian ini pun jarang berlaku,” katanya pada sidang akhbar selepas Sambutan Hari Imigresen dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 di sini hari ini.

Agensi berita Reuters sebelum ini melaporkan Hassan al-Kontar, 36, terkandas di terminal KLIA2 lebih sebulan lalu sama seperti jalan cerita filem Steven Spielberg, The Terminal.

Hassan menghantar blog video mengenai kehidupan sehari-harinya menerusi laman sosial Twitter dan Facebook sehingga menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia dan media.

Lelaki itu yang mendakwa tinggal di lapangan terbang terbabit sejak 7 Mac lalu bimbang ditangkap jika dihantar pulang ke Syria, yang mana perang saudara berlanjutan selama tujuh tahun.