Pengarah Maritim Pangkalan Batu Pahat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Leftenan Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata, KD Mahameru tiba dari Pangkalan Tentera Laut Lumut, Perak pada pukul 7 pagi tadi dan telah memulakan kerja-kerja mengepam udara ke dalam kapal berkenaan.

"KD Mahameru tiba di lokasi kejadian pada pukul 7 pagi tadi dengan kekuatan anggota lebih 100 orang selain 23 anggota penyelam profesional daripada TLDM dan lapan orang penyelam profesional persendirian selain bantuan APMM.

Kerja-kerja mengepam udara ke dalam kapal sedang berjalan bagi mengapungkan kapal berkenaan dan memudahkan anggota penyelam melakukan kerja-kerja menyelamat," katanya kepada pemberita di Pos Kawalan SAR Pantai Leka di sini hari ini.

Katanya, cabaran pada ketika ini adalah keadaan ombak laut yang bergelora yang menyukarkan kerja-kerja menyelam dilakukan. - Bernama