Timbalan Menterinya, Steven Sim Chee Keong berkata, pihaknya perlu mendapatkan perincian daripada persatuan sukan terbabit sebelum membuat sebarang kesimpulan mengenainya.

"Tidak adil jika kita tidak mendapatkan penjelasan daripada mereka (BAM) tetapi nasihat saya kepada semua persatuan sukan ialah kita mesti menunaikan amanah dan tanggungjawab sebagai satu badan pengurusan sukan yang telus dan adil.

"Jangan ada isu-isu dan aduan tentang kewangan dan ketirisan. Saya tidak kata BAM bersalah dalam isu ini sebab kita kena tunggu penjelasan daripada mereka," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini ketika ditanya mengenai laporan berita yang disiarkan sebuah portal berita.

Steven berkata, kerajaan komited untuk membuat pembaharuan dan memastikan sukan negara terus berkembang, namun menegaskan badan-badan dan persatuan sukan juga perlu membuat perubahan termasuk dalam aspek tadbir urus.

Laporan berita bertajuk 'Players blast BAM over money' itu menyatakan beberapa pemain badminton negara mendakwa BAM belum menyerahkan wang kemenangan yang keseluruhannya mencecah kira-kira RM100,000. - Bernama