Timbalan Ketua Pengarah kastam, Datuk Paddy Abdul Halim berkata, arahan telah dikeluarkan oleh pihaknya untuk mengecualikan barang makanan tersebut daripada sebarang kutipan SST dengan segera.

“Peniaga diminta tidak mengutip SST untuk ikan masin dan orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Pusat Panggilan Kastam di talian 1-300-888-500 atau email [email protected] atau mana-mana cawangan Kastam terdekat,” katanya pada sidang akhbar berhubung cukai SST di Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar tersebut ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, pihak Kastam turut memohon maaf terhadap kekeliruan berhubung Garis Panduan Cadangan SST Untuk Pelbagai Barangan bertarikh 25 Ogos yang  telah dimuat naik di laman web jabatan tersebut sebagai rujukan peniaga dan orang ramai.

Jelas Paddy, panduan tersebut telah menyenaraikan sebanyak 3,564 barangan bertujuan untuk membantu dan menjadikan rujukan kepada pengguna dan pihak industri namun senarai itu bukan senarai penuh kepada barang yang dikenakan atau dikecualikan daripada SST sebaliknya merangkumi bilangan barang pengguna yang biasa.

“Panduan ini dikemaskini dari semasa ke semasa dan akan digantikan dengan Panduan Cukai Jualan Untuk Pelbagai Barangan berdasarkan pewartaan perintah dan perundangan yang berkuat kuasa.

“Kekeliruan ini timbul kerana masih mengekalkan panduan berdasarkan cadangan dalam laman web Kastam sebelum ini dan cadangan ini telah pun dikeluarkan daripada laman web tersebut,” jelas beliau. - K! ONLINE