Dalam kejadian pada pukul 3 pagi itu, tujuh anak kapal kapal kargo terbabit yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 43 tahun sempat menaiki bot kecil untuk menyelamatkan diri dalam keadaan laut bergelora dan hujan lebat.

Pengarah Maritim Terengganu, Rahim Ramli berkata, sewaktu kejadian, kapal kargo terbabit dalam perjalanan untuk membawa bekalan kelapa tua itu ke Narathiwat, Thailand dari Pelabuhan Tembilahan, Sumatera, Indonesia.

"Berdasarkan maklumat, kapal kargo membawa muatan kelapa tua terbabit pada mulanya telah mengalami masalah mekanikal pada bahagian bawah kapal itu sewaktu berada di lokasi kejadian.

"Sebaik menyedari kerosakan tersebut, kapten kapal berkenaan yang dikenali sebagai Rudi Hartono, 37, dan enam anak kapalnya telah segera menaiki bot kecil bagi menyelamatkan diri dan mendarat ke Pantai Tok Jembal, Kuala Nerus pada pukul 8 pagi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ramli berkata, sewaktu kesemua anak kapal terbabit dalam perjalanan untuk mendarat di Pantai Tok Jembal dengan menaiki bot kecil tersebut, kapal kargo itu kemudiannya telah terlanggar batu lalu karam. - K! ONLINE