Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tindakan tersebut bagi mengelakkan persepsi negatif kepada bakal pembeli yang akhirnya boleh menyebabkan kapal itu mengalami susut nilai yang banyak.

"Kalau sampai 100 orang dibenarkan masuk ke dalam kapal ini kita bimbang ia akan merosakkan kapal. Jadi, bakal pembeli mungkin tidak mahu (beli).

"Hiasan dalaman kapal ini sangat mewah, sangat cantik, perabot yang ada dalam kapal ini saya sendiri pun tidak pernah lihatnya. Begitu juga bilik tidurnya, kita boleh tidur sambil melihat keindahan langit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika selepas melawat kapal mewah Equanimity di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Beliau meluangkan masa lebih sejam bagi melihat sendiri keadaan kapal itu termasuk di bahagian dalamannya.

Turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.

Hadir sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Kapal mewah Equanimity yang dikaitkan dengan kes syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selamat tiba di Terminal Boustead Cruise Center, Pelabuhan Klang kira-kira pukul 12.35 tengah hari, Selasa lalu selepas belayar hampir 20 jam Batam, Indonesia.

Sepanjang pelayaran itu, kapal berkenaan telah diiringi oleh tiga buah kapal Polis Marin iaitu PT2, PA45 dan PA9 dengan kekuatan 50 anggota termasuk pegawai Polis Marin. - K! ONLINE