Kapal tersebut dipercayai berlepas dari perairan Batam, Indonesia pada pukul 4.45 petang semalam.

Sepanjang pelayaran kira-kira 20 jam itu, kapal berkenaan telah diiringi oleh tiga buah kapal Polis Marin iaitu PT2, PA45 dan PA9 dengan kekuatan 50 anggota termasuk pegawai Polis Marin.

Turut kelihatan adalah pasukan petugas dari Jabatan Peguam Negara dan pegawai pasukan khas 1MDB yang telah bersiap sedia melakukan pemeriksaan terhadap kapal bernilai RM1 bilion tersebut.

Kapal itu sebelum ini ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung siasatan oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat.

Pemerintah Indonesia menyerahkan kapal berkenaan kepada kerajaan Malaysia atas permintaan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa kunjungannya ke negara berkenaan pada Jun lalu.

Mahathir dalam kenyataannya melalui akaun Facebook miliknya semalam menzahirkan penghargaan kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan pihak berkuasa Indonesia kerana menyerahkan kapal mewah Equanimity kepada Malaysia. 

Sementara itu, ketibaan kapal tersebut mendapat liputan meluas dengan kehadiran kira-kira 50 petugas media daripada pelbagai agensi yang telah menunggu di Terminal Boustead Cruise Center sejak pukul 10 pagi. - K! ONLINE