Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Syed Ammar Syed Abbas berkata, mayat mangsa, Muhammad Amjad Ashraf Nor Aza yang lemas ditemui pada pukul 4.45 petang.

Katanya, berdasarkan maklumat seorang saksi di lokasi kejadian, mangsa bersama empat rakannya pergi ke sungai itu untuk menjala ikan pada pukul 4 petang.

"Bagaimanapun, semasa Muhammad Amjad Ashraf sedang meninjau lokasi untuk menjala ikan, dia tiba-tiba tergelincir dan terjatuh ke sungai sebelum dibawa arus deras.

"Empat rakannya yang panik kemudian meminta bantuan penduduk untuk menyelamatkan mangsa. Penduduk menghubungi bomba pada pukul 4.23 petang," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Syed Ammar berkata, lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian bersama sebuah jentera dan tiba di situ 10 minit kemudian.

"Budak lelaki itu ditemui pada pukul 4.45 petang di dasar sungai sedalam lima meter pada jarak 100 meter dari tempat dia terjatuh.

"Mangsa dihantar segera ke Klinik Kesihatan Gemas namun, dia disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya. - K! ONLINE