Mangsa dilaporkan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Melaka dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh pasangan terbabit yang berusia 45 dan 35 tahun kira-kira pukul 2 pagi.

Sumber berkata, kanak-kanak tersebut kemudian diberikan bantuan pernafasan (CPR), namun gagal diselamatkan.

"Bagaimanapun kita percaya kanak-kanak itu didera kerana terdapat kesan lebam serta parut di kepala dan paha mangsa. 

"Satu laporan polis juga telah dibuat oleh pihak hospital berhubung kejadian tersebut," katanya. 

Difahamkan pasangan itu telah menjaga kanak-kanak tersebut sejak akhir Julai lalu. 

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Nor Yhazid Idris ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut. 

Katanya, kedua-dua pasangan itu juga telah ditahan dan mendapat perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

"Bagaimanapun kita masih menunggu laporan bedah siasat kanak-kanak itu yang dijalankan hari ini," katanya. - K! ONLINE