Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, mangsa, Nurul Ain Sajali, 9, dipercayai bermain dengan dua beradiknya di kawasan batu berhampiran tepi pantai sebelum ditarik arus laut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Mohd. Fadli Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.03 petang sebelum sepasukan 11 anggota, termasuk pegawai bersama sebuah jentera, Toyota Hilux dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

“Hasil maklumat awal, kami diberitahu keluarga membabitkan pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka datang ke sini untuk berkelah.

“Difahamkan kejadian berlaku kira-kira 3 petang, berkemungkinan ahli keluarga panik untuk memaklumkan kepada kami dan memutuskan untuk mencari sendiri dahulu di permukaan laut," katanya.

Mohd. Fadli berkata, ketika kejadian tiga kanak-kanak dihanyutkan arus deras namun dua daripada mereka dapat diselamatkan ahli keluarga manakala seorang gagal diselamatkan.

“Setakat ini kami (bomba) akan tangguh operasi mencari dan menyelamat dan malam ini kita akan menggerakkan anggota untuk mencari di sekitar permukaan pantai,” katanya. - K! ONLINE.