Perbuatan kedua-dua adik beradik itu yang tular di media sosial sejak kelmarin itu telah mendapat perhatian Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan sukarelawan Team Muafakat Klang yang terus menjalankan siasatan bagi mengesan ahli keluarga kanak-kanak berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, pihaknya bersama sukarelawan terbabit kemudiannya ke pasar berkenaan seawal pukul 4.30 pagi ini bagi menjejaki kanak-kanak berkenaan.

"Kami ke pasar berkenaan bagi mengesan dan mengenalpasti identiti kanak-kanak itu kerana tidak mendapat maklumat yang lengkap bagi menghulurkan sedikit bantuan dan sumbangan.

"Alhamdulillah, pihak kami dapat berjumpa dengan keluarga tersebut hasil maklumat yang diperolehi daripada pengunjung dan pekerja di pasar Pelabuhan Klang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pasangan ibu bapa adik-beradik tersebut merupakan pelarian Rohingya yang mendapat perlindungan daripada United Nation (UN).

"Bapa mereka (Nur Islam Abul Husson, 43) merupakan pembantu di salah sebuah kedai menjual sayur di pasar tersebut dengan mendapat upah sebanyak RM50 sehari.

"Di samping itu, mereka juga mencari barangan lusuh untuk dijual bagi menampung perbelanjaan seharian keluarga. Sewa dan bayaran utiliti rumah yang mereka diami sekarang dibayar oleh majikan bapa anak-anak tersebut,"katanya.

Tambah Azmizam, atas dasar kemanusian pihaknya akan mencari jalan membantu keluarga tersebut bagi meringankan kos perbelanjaan persekolahan dua kanak-kanak itu meskipun adalah warga asing.

"Orang ramai yang ingin menyumbang boleh hubungi keluarga tersebut di talian 011-25481224,"ujarnya.

Kelmarin tular di laman sosial Facebook tentang perbuatan dua kanak-kanak yang memakai baju sekolah sedang menyelongkar sampah-sarap di pasar Pelabuhan Klang.

Perbuatan tersebut mendapat pelbagai reaksi daripada netizen yang juga turut mempersoalkan pihak berwajib tidak memantau dan membantu kanak-kanak tersebut. - K! ONLINE