Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, mangsa dikenali sebagai Hazrul Nizam Mohd. Haranlani berusia 41 tahun. 

"Mangsa dipercayai dari Putrajaya menyertai aktiviti itu bersama 26 individu lain. Mereka dipercayai mula mendaki gunung itu pada pukul 7 pagi.

"Kami dimaklumkan mangsa tiba-tiba pengsan sewaktu berada ketinggian kira-kira 1,219 meter," katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Norazam berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak polis pada pukul 11.44 pagi dan tiba di Gunung Berembun kira-kira 20 minit kemudian.

Kata beliau, seramai 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Seremban 2 dan Senawang dikerahkan memberi bantuan.

Menurut beliau, anggota bomba mengambil masa kira-kira empat jam untuk tiba di lokasi mangsa dan mendapati mangsa telah meninggal dunia. 

"Operasi membawa mayat mangsa turun dari gunung tersebut sedang dijalankan," katanya. - K! ONLINE