Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi, Nor Izati Baharin, 14, menyelamatkan adik bongsunya, Nor Ain Hawanie, 5, yang sedang tidur daripada rentung.

Bagaimanapun mereka tidak mengalami sebarang kecederaan walaupun mengalami sesak nafas kerana asap tebal dan api merebak dengan cepat.

Kejadian itu menyebabkan 12 pintu rumah kongsi pekerja kilang papan yang dihuni 12 keluarga itu telah terbakar dan mereka tinggal sehelai sepinggang.

Menurut Nor Izati ketika kejadian, dia bersama seorang lagi adik lelaki, Mohd. Aidil Idham, 11, sedang berada di dalam bilik sebelum menyedari rumah kongsi mereka terbakar selepas melihat asap tebal dari rumah jirannya.

"Saya segera menjerit menyuruh adik lelaki keluar dan mengambil adik perempuan yang sedang tidur di dalam bilik.

"Saya dalam keadaan kelam kabut telah meredah api dan berlari keluar dari rumah. Ketika itu, saya hampir lemas terhidu asap tebal dan berasa panas kerana api sedang marak, tetapi saya bersyukur kerana kami  selamat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Semasa kejadian, bapa tiga beradik tersebut, Baharin Mokhtar, 45, pula pergi ke stesen bas di bandar Gua Musang untuk menghantar isterinya menaiki bas untuk ke Kota Bharu.

"Saya bergegas pulang ke rumah selepas dimaklumkan kejadian kebakaran itu oleh anak sulungnya. Setibanya di rumah keadaan tempat tinggal kami sekeluarga sudah hangus semuanya.

"Saya memeluk ketiga-tiga saya kerana terselamat dalam kejadian itu," katanya yang juga tinggal sehelai sepinggang selepas gagal menyelamatkan sebarang harta benda dalam kejadian tersebut.
 
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Anuar Abas berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.58 pagi sebelum 15 anggota bersama tiga jentera bergegas ke lokasi.

"Api berjaya mengawal kebakaran dalam masa 30 minit dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan," katanya. - K! ONLINE