Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, peraturan ketika ini disifatkan tidak kompetitif dan menyokong usaha itu meskipun negara mempunyai banyak pelabuhan.

Katanya, Kabinet telah memutuskan supaya semua agensi terlibat berunding dan tidak beroperasi secara silo.

"Contohnya, air mineral dan tidak faham mengapa memerlukan pengesahan AP untuk proses transit dalam bidang pengangkutan kapal.

"Apa yang kita ingin semak semula adalah AP dengan melakukan perbincangan termasuk bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ( MITI)," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Hub Komodoti Integrasi Syarikat C. Steinweg Logistik (Malaysia) Sdn. Bhd. di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, Malaysia mempunyai faktor yang sangat kuat untuk bergelar hub pengedaran serantau termasuk mempunyai banyak pelabuhan dan tempat yang luas seperti di Pelabuhan Klang.

Ujar Siew Fook, strategi kerajaan adalah supaya syarikat-syarikat ini meletakkan Malaysia sebagai pusat pengedaran serantau mereka untuk proses pembungkusan semula dan menambah nilai sebelum dieksport semula ke pasaran di Asia Tenggara dan China.

"Perlu diingat, semakan atau pelonggaran AP ini bukan untuk pengimportan barangan masuk ke negara ini atau memberikan saingan bagi pasaran tempatan," katanya. - K! ONLINE