Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kadar itu diluluskan oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan.

"Kadar zakar fitrah bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada tahun ini adalah sama seperti kadar tahun lalau iaitu RM7," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Ihya Ramadan dan Watikah Pelantikan Ketua Amil dan Amil Zakat Fitrah 1439 hijrah/2018 di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata, pada tahun ini Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah melantik sebanyak 880 ketua amil dan amil bagi 73 Pusat Pungutan Zakat di kawasan yang ditetapkan di seluruh Wilayah Persekutuan.

"Pada hari ini sebanyak 84 buah masjid, 108 buah surau Jumaat dan 486 surau yang berdaftar di Wilayah Persekutuan termasuk Labuan dan Putrajaya telah menerima sumbangan daripada MAIWP sebanyak RM6.96 juta.

"Masjid menerima sumbangan sebanyak RM12,000 manakala, surau Jumaat dan surau menerima sumbangan RM10,000 untuk pengimarahan ihya Ramadan selain untuk kebersihan dan kecerian," katanya. - K! ONLINE