Presidennya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, keputusan itu dicapai selepas pihaknya mengadakan perbincangan lanjut dengan Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Selepas berbincang dengan Kementerian Wilayah Persekutuan, maka PPj membuat keputusan untuk tidak menaikkan kadar sewa kuarters Blok F dan G milik perbadanan di Presint 11 kerana tidak sesuai dilaksanakan dalam keadaan semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi catatan di Facebooknya mendakwa kadar sewa kuarters PPj naik berganda dari RM400 kepada RM800 sebulan. 

Najib berkata, penyewa kuarters berkenaan adalah penjawat awam dan pekerja kerajaan dan menurutnya, PPj adalah milik penuh kerajaan dan di bawah kawal selia kerajaan.

Menerusi catatan itu, Najib turut berkongsi dua keping gambar notis makluman kadar baharu sewaan bagi kuarters Blok F dan G, Pangsapuri Putra Damai milik PPj.

Dalam notis tersebut, ia menyatakan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan PPj telah menetapkan kadar baharu bagi sewaan kuarters PPj iaitu Blok F (Aras 1 hingga 16) ialah RM800 manakala Blok G Aras bawah dan Aras 1 ialah RM800 manakala Aras 2 (RM700) dan Aras 3 dan 4 (RM600).

Notis itu turut menyatakan bahawa kadar baharu sewaan akan berkuat kuasa setelah kontrak penyewaan sedia ada tamat dan penyewa masih berminat untuk meneruskan kontrak baharu bagi penyewaan kuarters berkenaan. -K! ONLINE