Beliau berkata, tenaga buruh Malaysia pula meningkat 2.1 peratus berbanding suku kedua tahun lepas kepada 15.60 juta orang, manakala penduduk bekerja turut meningkat 2.1 peratus dalam tempoh yang sama kepada 15.08 juta orang.

"Perbandingan suku tahun ke suku tahun pula menunjukkan tenaga buruh dan penduduk bekerja meningkat 0.5 peratus berbanding suku tahun sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena penerbitan Laporan Survei Tenaga Buruh bagi suku kedua tahun ini oleh Jabatan Perangkaan.

Mohd. Uzir berkata, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pada suku tahun ini naik 0.1 mata peratus berbanding suku pertama 2018 kepada 68.8 peratus.

"Pada suku kedua tahun ini, KPTB perempuan mencatatkan kenaikan 0.1 mata peratus kepada 55.8 peratus berbanding suku tahun sebelumnya. KPTB perempuan dalam pasaran buruh bagi kumpulan umur prime age iaitu 25-34 tahun (73 peratus), 35-44 tahun (67.6 peratus) dan 45-54 tahun (62 peratus) adalah lebih tinggi berbanding KPTB perempuan di peringkat nasional.

"KPTB lelaki turun 0.1 mata peratus kepada 80.8 peratus pada suku kedua 2019 berbanding suku tahun sebelumnya. Kumpulan umur yang mencatatkan KPTB melebihi 90 peratus ialah 25-34 tahun (96.2 peratus), 35-44 tahun (97.5 peratus) dan 45-54 tahun (94.3 peratus)." katanya.

Dalam masa yang sama, Mohd. Uzir berkata, Jabatan Perangkaan turut melaporkan bahawa pada suku kedua tahun ini, komposisi penduduk bekerja yang berpendidikan menengah meningkat 1.6 mata peratus kepada 56.4 peratus berbanding 54.8 peratus pada suku tahun sebelumnya. - Bernama