Beliau berkata antara isu utama yang akan dibincangkan termasuklah peranan sebuah syarikat tempatan yang dikaitkan dengan urusan pengambilan pekerja asing dari negara itu.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) pada sesi Waktu Petanyaan-Pertanyaan Menteri persidangan Dewan Rakyat, hari ini, beliau berkata yang menjadi isu adalah penyumberluaran yang dilakukan syarikat berkenaan.

Kula Segaran berkata perkara itu akan diperhalusi dan tindakan perlu diambil  jika berlaku sebarang penyelewengan.

Beliau  menjawab soalan Ismail yang ingin tahu sama ada penarikan balik kelulusan melanjutkan pas lawatan kerja sementara (PLKS) untuk tahun ke-11 oleh kerajaan  baru-baru ini menyebabkan kerajaan Nepal tidak berminat menghantar rakyatnya  bekerja di Malaysia.

Sebelum ini, portal Nepali Times dalam laporan bertajuk 'Kleptocrats of Kathmandu and Kuala Lumpur' menamakan beberapa syarikat lain menerima sokongan ahli politik berpengaruh Malaysia, yang mengaut keuntungan menerusi urusan pengambilan pekerja asing di negara ini.

Berikutan isu itu, Kerajaan Nepal dilaporkan menyekat rakyatnya untuk datang ke Malaysia berkuat kuasa serta-merta kerana tidak gembira dengan peraturan Jabatan Imigresen negara ini yang ketat terhadap pekerjanya sebelum diambil bekerja.

Ia termasuk monopoli daripada syarikat swasta itu bagi menjalankan pemeriksaan keselamatan dan kesihatan sebagai sebahagian keperluan visa.

Kula Segaran berkata setakat 20 Jun lepas, jumlah pekerja asing yang dikeluarkan PLKS oleh Jabatan Imigresen adalah 1,747,154 orang, dengan 378,577 adalah dari Nepal, iaitu angka kedua tertinggi selepas pekerja Indonesia. - Bernama