Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, harga seliter bagi petrol itu masih kekal pada RM 2.08 sebagai usaha kerajaan melindungi rakyat daripada terdedah kepada harga yang tinggi dan tidak menentu.

Jelasnya, penstabilan harga runcit minyak dan pelaksanaan subsidi bersasar merupakan salah satu komitmen manifesto Pakatan Harapan pada Pilihanraya Umum ke-14 yang lepas dan bukannya RM 1.50 seliter bagi petrol RON 95 seperti yang berlegar-legar di media sosial. 

“Penstabilan harga runcit minyak telah dilaksanakan dan kerajaan komited melaksanakan subsidi bersasar supaya hanya golongan yang layak dan memerlukan sahaja menerima subsidi petrol ini.

“Kerajaan sentiasa mendengar dan terbuka untuk mendengar cadangan daripada rakyat berkenaan pelaksanaan subsidi bersasar agar niat dan objektif di sebalik dasar ini tercapai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas merujuk beberapa laporan media berkenaan kenyataannya mengenai penghapusan had paras harga petrol RON 95 yang pada masa sekarang ditetapkan pada paras RM 2.08 seliter. - K! ONLINE