Perintah tahanan reman terhadap jurutera wanita berusia 50 tahun serta dua lelaki yang merupakan pembantu tadbir kewangan dan pembantu kemahiran masing-masing berusia 46 dan 34 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Alor Setar, Noor Lyana Ab. Rahim.

Ketiga-tiga suspek bertugas di Unit JKR Tentera negeri Kedah.

Turut direman bagi kes sama ialah seorang lelaki berusia 37 tahun yang merupakan kontraktor di sebuah syarikat penyedia latihan.

Menurut sumber, tiga penjawat awam dan kontraktor itu ditahan ketika dipanggil memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah di sini kira-kira pukul 6.30 petang semalam.

"Mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam membuat tuntutan palsu bernilai RM19,950 dan RM6,806 berkaitan Projek Perkhidmatan Latihan Kakitangan - Kursus Pemasangan Penyaman Udara dan Pengudaraan Mekanikal (Kediaman dan Komersial Ringan).

"Tuntutan itu didakwa dilakukan antara Mei hingga Oktober tahun lalu sedangkan projek dan kursus untuk kakitangan JKR dan orang awam tersebut tidak dilaksanakan," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. - K! ONLINE