Tertuduh, Mohammad Amir Mohd. Layi, 21, yang merupakan bekas pelajar Institut Latihan Perindustrian Marang membuat pengakuan tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan tiga hakim berasingan iaitu Rofiah Mohamad, Mohammad Haldar Abdul Aziz dan Azman Mustapha.

Berdasarkan pertuduhan, Mohammad Amir didakwa atas lapan pertuduhan mencabul kanak-kanak berusia lingkungan enam hingga 11 tahun dengan cara memegang bahu dan buah dada mangsa di dalam kawasan lapan sekolah rendah di sekitar daerah Marang serta Kuala Terengganu dan di tepi Jalan Medan Jaya.

Tertuduh juga didakwa atas tiga pertuduhan cabul dengan cara menyuruh mangsa memegang kemaluannya di tepi jalan Kampung Medan Jaya, Kampung Rhu Rendang serta tandas perempuan di sebuah sekolah rendah di Marang.

Dia turut didakwa mencabul seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dengan menggeselkan kemaluannya di celah dubur mangsa dan menyuruh mangsa memegang kemaluannya di belakang sebuah kuarters guru di daerah Marang.

Mohammad Amir juga berhadapan dengan empat pertuduhan merakam aksi tersebut bagi menghasilkan pornografi kanak-kanak di lokasi berlainan iaitu di tepi Jalan Kampung Medan Jaya, Kampung Rhu Rendang serta di dalam tandas perempuan di sebuah sekolah rendah dalam daerah Marang dan sebuah sekolah rendah di Kuala Terengganu. - K! ONLINE