Walaupun berdepan masalah itu, Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh bagaimanapun yakin keadaan akan kembali pulih.

"Ini merupakan sesuatu yang biasa apabila berlakunya tempoh peralihan.

"Kami masih dalam peringkat mengenal pasti penyelesaian terbabit untuk semua (pihak) kerana sedia maklum bahawa majoriti pemandu kami adalah separuh masa. Malah, pendapatan Grab mereka menyumbang 30 peratus kepada pendapatan isi rumah masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Goh berkata, Grab juga telah berbincang dengan MOT dan usaha itu akan diteruskan pada masa depan.

Laporan sebelum ini menyatakan perkhidmatan e-hailing berkenaan akan tertakluk kepada peraturan sama yang ditetapkan ke atas teksi, terutamanya bagi lesen dan pemeriksaan kenderaan dan keperluan operasi.

Syarikat e-hailing itu juga diwajibkan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat atau Suruhanjaya Koperasi manakala kenderaan yang dimiliki perlu menjalani pemeriksaan setiap tahun jika berusia lebih tiga tahun.

Pada masa ini, lebih 50 peratus daripada kenderaan Grab berusia melebihi tiga tahun. - Bernama