Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, lima buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mencatat penambahan jumlah mangsa, satu PPS baru dibuka, tiga buah PPS mengalami penurunan manakala jumlah mangsa di dua lagi PPS tidak berubah.

"Lima buah PPS yang dilaporkan mengalami peningkatan jumlah mangsa ialah PPS Belimbing Dalam (343 mangsa daripada 87 keluarga), PPS Sekolah Kebangsaan Krubong (246 mangsa daripada 58 keluarga), PPS Balai Raya Bukit Baru (41 mangsa daripada lapan keluarga), PPS Bukit Masjid Al-Rasyidin (133 mangsa daripada 27 keluarga) dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pengkalan (139 mangsa daripada 36 keluarga)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Effendy yang juga Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka berkata, sebuah PPS baharu dibuka iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Taman Merdeka yang menempatkan seramai 250 mangsa melibatkan 63 buah keluarga.

Katanya, jumlah mangsa banjir di dua buah PPS iaitu PPS Balai Raya Panchor dan PPS Balai Raya Sungai Tuang tidak berubah.

"Seramai 97 orang mangsa yang terdiri daripada pelajar dan kakitangan pusat tahfiz masih berteduh di PPS Balai Raya Panchor dan sembilan orang mangsa daripada dua keluarga di PPS Balai Raya Sungai Tuang," katanya.

Beliau berkata, hanya tiga buah PPS mengalami penurunan iaitu di PPS Balai Raya Gadek (50 mangsa daripada 15 keluarga), PPS Kampung Beringin (76 mangsa daripada 18 keluarga) dan PPS Balai Raya Bukit Tambun (tujuh mangsa daripada dua keluarga). - Bernama