Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub berkata, bentuk bantuan itu yang diberi pada musim tengkujuh juga mungkin diubah daripada bayaran secara tunai kepada kad pintar atau kupon untuk pembelian barangan keperluan. 

"Sebelum ini kita dapati apabila bayaran elaun ini diberikan secara tunai, ada wangnya tidak sampai atau ia digunakan untuk membeli barangan lain, sekali gus tidak membantu nelayan meringankan beban," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran Hari Bertemu Pelanggan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Pejabat Pertanian Daerah Batu Pahat, di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan tersebut mungkin dilaksanakan tahun depan selepas selesai proses 'pemutihan' nelayan yang bertujuan mengenal pasti nelayan tulen.

Mengenai Hari Bertemu Pelanggan, beliau berkata ia diadakan setiap Rabu di jabatan dan agensi masing-masing, selain sebulan sekali dilaksanakan secara berpusat di agensi atau jabatan terpilih.

Menurutnya program membabitkan kesemua 13 jabatan dan agensi di bawah kementerian yang bertujuan memberi pemahaman dan pendedahan akan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi atau jabatan.

"Hari Bertemu Pelanggan merupakan satu pendekatan holistik untuk menawarkan perkhidmatan melalui interaksi dan perhubungan yang mesra, telus, cekap dan mencapai sasaran serta meningkatn kualiti perkhidmatan kerajaan kepada orang ramai.

"Kita juga membuat program ini untuk mendapatkan maklum balas dan cadangan penambahbaikan agensi serta jabatan," katanya. - Bernama