Mesyuarat tersebut di sebuah hotel di sini bermula jam 4 petang dan berakhir kira-kira pukul 7.30 malam.

Difahamkan mesyuarat tersebut bagi mendapatkan perkenan memasyhurkan Tengku Abdullah sebagai Sultan Pahang.

Media sebelum ini melaporkan Sultan Ahmad Shah bakal menyerahkan takhta kepada anakandanya Tengku Abdullah yang telah menjadi Pemangku Raja Pahang sejak 28 Disember 2016.

Mesyuarat itu, yang dihadiri kerabat diraja Pahang, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan exco kerajaan negeri serta Orang Besar Berempat, diadakan selepas Majlis Pengurniaan Suratcara Pelantikan Setiausaha Kerjaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak. - Bernama