Eksekutif Jualan Utusan Malaysia dan Kosmo! Pahang, Rizbi Mamat memberitahu, penjualan kedua-dua akhbar itu di negeri berkenaan melonjak kepada 98 peratus berbanding sekitar 80 peratus sebelum ini.

"Maklum balas diterima daripada vendor dan peruncit mendapati akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia kebanyakkannya hampir habis dijual sebelum tengah hari.

"Edaran di Mentakab, Temerloh hari ini turut ada peningkatan. Dalam 100 naskhah Kosmo! yang dijual di kedai runcit, hanya dua naskhah masih belum terjual," katanya.

Bermula hari ini, naskhah Kosmo! dijual pada harga RM1.50 dan Utusan Malaysia pula RM2 yang kedua-duanya melibatkan peningkatan sebanyak 50 sen.

Seorang peruncit, M.Ganesan, 40, berkata, pelanggannya tidak merungut apabila dimaklumkan Kosmo! dan Utusan Malaysia masing-masing dinaikkan harga.

"Ada (pembeli) yang terkejut sebab mereka tidak tahu, tetapi tetap membayar untuk mendapatkan Kosmo! dan Utusan Malaysia," ujarnya semasa ditemui di sini. - K! ONLINE