Proton Holdings Bhd dalam satu kenyataan berkata, penyambungan semula dalam aktiviti eksport oleh pengeluar kereta nasional itu juga telah merangsang pertumbuhan.

"Julai menjadi bulan terbaik Proton kerana kami telah mencapai jumlah terbanyak, yang bukan sahaja positif untuk 2018 tetapi merangkumi tempoh 30 bulan lepas.

"Kami berharap dapat meneruskan momentum ini walaupun selepas perlaksanaan SST memandangkan kami sedang bersedia untuk pelancaran SUV pertama kami dalam tahun ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Proton, model Saga dan Persona terus mendahului jualan, dengan Saga melepasi jualan 3,000 unit buat pertama kalinya pada 2018. 

Persona juga mencapai tahap tertinggi bagi tahun ini selepas lebih 2,221 jualan direkodkan, ini kali pertama jualannya mencecah 2,000 unit sejak Mei 2017.

Bahagian jumlah keseluruhan industri (TIV) Proton meningkat kepada 11.7 peratus pada bulan Julai berbanding dengan 9.6 peratus yang dicatatkan semasa Jun lepas, menurut angka yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia.

Bagi eksport, Proton telah menghantar 517 kereta pada Julai, dengan jangkaan lebih banyak penghantaran sebelum akhir tahun ini.

"Syarikat itu yakin dapat mencapai sasaran jualan eksport untuk 2018, yang akan bertindak sebagai batu loncatan bagi penjualan lebih banyak kereta di peringkat antarabangsa pada tahun-tahun akan datang," katanya.

Sementara itu, sumbangan Proton kepada Tabung Harapan Malaysia meningkat kepada RM81,020 pada bulan Julai berbanding hanya RM61,730 yang disumbangkan pada bulan sebelumnya.