Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat yang diwakili penyelia operasinya, Oh Ching Hai selepas dia mengaku bersalah menjual menjual laksa dengan jenama Cap Kunci yang didapati mengandungi asid benzoik yang tidak dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Mahkamah turut memerintahkan harta syarikat itu bernilai RM10,000 disita jika denda gagal dibayar. Syarikat berkenaan yang tidak diwakili peguam membayar denda tersebut.

Syarikat terbabit yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) melakukan kesalahan itu di sebuah pasar raya di Jalan Metro Prima, Kepong di sini pada pukul 10 pagi, 22 Ogos 2017.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 13B(1) dibaca bersama Seksyen 13B(2)(d) Akta Makanan 1983 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Pejabat Kesihatan Rosli Arsyad Mohd. Jaafar memohon hukuman maksimum dikenakan terhadap syarikat itu atas alasan  kepentingan orang awam.

“Asid benzoik merupakan bahan pengawet yang tidak dibenarkan yang boleh menyebabkan kerengsaan, asma dan penyakit kanser jika dimakan dalam tempoh masa yang panjang,” katanya.

Mengikut fakta kes, seorang pegawai serbuan kesihatan telah pergi ke pasar raya berkenaan dan membeli tiga bungkus laksa pendek jenama Cap Kunci dengan bayaran sebanyak RM5.40 bertujuan untuk dianalisis.

Pemeriksaan juga mendapati syarikat EHH Food Industry tidak mematuhi Akta Makanan 1985 kerana menjual makanan mengandungi asid benzoik. - K! ONLINE