"Saya telah arahkan JSJK untuk membuat siasatan lanjut dan siasatan sedang berjalan," katanya kepada pemberita selepas majlis konvokesyen Kolej UniKop di sini, hari ini.

Pada 30 November lalu, Tabung Haji membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta barisan pengurusan kanan.

Laporan yang dikemukakan itu adalah hasil siasatan dalaman yang pertama oleh pengurusan baharu berhubung beberapa transaksi masa lalu.

Kakitangan kanan yang terbabit dalam laporan polis itu ialah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar, Penasihat Undang-undang, Hazlina Mohd. Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md. Ariff.

Laporan pertama membabitkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 di mana dana berjumlah lebih RM22 juta disalurkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik.

YTH ditubuhkan pada 2016 untuk melaksanakan, antara lain, bantuan kemanusiaan serta menyalurkan sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik, miskin dan yang memerlukan.
TH menyumbang RM7 juta kepada program itu.

Laporan kedua terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina adalah berkaitan dakwaan salah nyata dan menyekat maklumat material melibatkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn. Bhd. (THI) dan TH Indo Industries Sdn. Bhd. (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga AS$910 juta (RM3.7 bilion).

Menurut kenyataan itu, PT TH Indo Plantations memiliki 83,000 hektar ladang kelapa sawit di Indonesia. - Bernama