Ketua Bahagian Kesihatan Veterinar Pahang Noraihan Mohd Yasin @ Muhammad berkata seramai enam pegawai dan kakitangan JPV negeri terlibat dalam operasi yang bermula sejak 8 pagi tadi setelah ditangguhkan beberapa kali hingga petang ini berikutan keadaan air semakin dalam.

"Kita terpaksa mendirikan pagar sementara terlebih dahulu di tepi jalan untuk memindahkan kesemua ternakan terlibat sebelum ia dibawa ke ladang ternakan esok dan operasi kali ni berhadapan sedikit kesukaran kerana bilangannya yang banyak selain air yang agak dalam," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, pada setiap tahun JPV juga bersedia menghadapi bencana banjir seperti agensi lain dengan mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Haiwan Semasa Bencana negeri.

"Kita bertindak atas pemantauan dan siasatan yang dilakukan selain berdasarkan aduan yang diterima daripada penternak yang mengalami sebarang masalah berkaitan," katanya. - Bernama