Pengarahnya Razali Wagiman berkata, seramai 183 anggota dan pegawai JPJ akan terlibat dengan operasi kali ini dengan mengadakan rondaan dan memberikan tumpuan kepada kesalahan yang boleh mendatangkan mudarat ketika dalam perjalanan.

"Anggota yang terlibat adalah daripada JPJ cawangan, stesen penguatkuasaan dan stesen kawalan sempadan. Anggota daripada bahagian kejuruteraan automotif pula akan membuat pemeriksaan teknikal kenderaan khususnya bagi pemeriksaan bas di depoh sebelum perjalanan bermula.

"Setiap tahun, kita berusaha mengurangkan kadar kemalangan dan kematian di jalan raya dan pada musim perayaan ini, kita menyasarkan untuk mengurangkannya hingga 50 peratus bagi kenderaan motosikal dan persendirian," katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan di Terminal Bas Larkin Sentral, di sini, malam tadi.

Beliau berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada kesalahan-kesalahan yang boleh menjurus kepada kemalangan seperti memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar, memotong barisan serta melanggar lampu isyarat merah.

Dalam tempoh dua hari sejak Op HRA dilaksanakan, katanya sebanyak 195 saman telah dikeluarkan atas pelbagai jenis kesalahan.

Beliau berkata orang ramai yang melihat sebarang perbuatan menyalahi undang-undang ketika dalam perjalanan boleh membuat aduan melalui email jpj.spab.gov.my atau [email protected], serta Facebook JPJ Johor, atau WhatsApp talian 011-5111 5252 atau menghubungi talian hotline JPJ Johor - 07-354 3544. - Bernama