Menteri Besarnya, Datuk Osman Sapian berkata, harga baharu itu berkemungkinan sama dengan kadar jualan air mentah yang ditetapkan untuk kerajaan Melaka iaitu RM0.50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

"Ataupun kurang sedikit daripada harga itu tetapi tidaklah kekal seperti sekarang ini. Saya rasa kalau kita (kerajaan Johor) ingin menaikkan harga yang agak munasabah dan berpatutan, kita harap kerajaan Singapura akan menerimanya," katanya.

Mengikut perjanjian air antara Malaysia dan Singapura yang berakhir pada tahun 2061, Malaysia membekalkan Singapura dengan 250 juta gelen air mentah setiap hari pada kadar 3 sen setiap 1,000 gelen.

Malaysia kemudiannya membeli semula sebahagian daripada bekalan itu yang telah dirawat pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Perkara itu  telah beliau bincangkan dengan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pada minggu lepas, namun belum ada sebarang kata putus dibuat, kata Osman dalam sidang media selepas menghadiri sambutan Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Prasarana Rakyat Johor di sini, hari ini.

"Kita masih dalam perbincangan kerana perlu meneliti perjanjian yang sedia ada dan selepas habis menelitinya, mungkin kerajaan Malaysia termasuk saya sendiri akan berbincang lebih lanjut dengan kerajaan Singapura," katanya lagi.

Pada 25 Jun lalu, Dr. Mahathir menyifatkan harga semasa jualan air kepada republik itu sebagai 'tidak masuk akal' kerana tidak bersesuaian dengan keadaan semasa. 

Sehubungan itu, beliau mahu rundingan semula dibuat terhadap terma perjanjian air yang ditandangani Malaysia dan Singapura. - Bernama