Seorang remaja lelaki dan dua remaja perempuan masing-masing berusia 12, 14 dan 15 tahun turut diselamatkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dari Unit Kanak-kanak dalam operasi bersepadu yang bermula kira-kira pukul 11 pagi di kawasan Bandar Hilir di sini hari ini.

Penolong Pegawai JKM (Unit Kanak-kanak) Melaka Tengah, Wan Nor Ahniza Hanom Ahmad berkata, ketiga-tiga mereka diselamatkan ketika sedang menjaja buah-buahan yang ditolak menggunakan troli.

Jelasnya, dua daripada mereka yang berusia 12 dan 14 tahun itu juga merupakan adik-beradik serta sering  dlihat menjaja di kawasan tersebut.

"Bapa kepada remaja perempuan berusia 15 tahun yang diselamatkan memberi alasan terpaksa menyuruh anaknya menjaja buah jambu kerana tidak mempunyai wang untuk membelikannya telefon bimbit.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, keluarga itu merupakan penerima bantuan daripada JKM dan ayahnya juga masih mampu bekerja," katanya pada sidang akhbar di Bandar Hilir di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Nor Ahniza berkata, risikan yang dibuat sejak cuti sekolah minggu lalu mendapati lebih 20 kanak-kanak dan remaja mula menjaja buah jambu dari waktu pagi sehingga lewat malam di beberapa kawasan tumpuan ramai termasuk sekitar Kota Laksamana serta pusat membeli-belah di Banda Hilir.

Tambahnya, rata-rata kegiatan menjaja itu didalangi oleh ibu bapa masing-masing yang malas bekerja dan mengambil jalan mudah dengan mempergunakan anak-anak bagi menagih simpati orang ramai. 

"Ini adalah satu tindakan eksploitasi kanak-kanak dan apa yang membimbangkan adalah keselamatan mereka kerana ada segelintir ibu bapa turut bertindak meninggalkan anak mereka di lokasi tertentu tanpa pengawasan," katanya. 

Jelasnya, menerusi iniasitif JKM, unitnya turut mengeluarkan kira-kira 10 notis amaran sepanjang bulan lalu kepada keluarga kanak-kanak yang terlibat dan satu laporan polis turut dibuat bagi siasatan mengikut Seksyen 17 (1) Akta Kanak-kanak 2001. - K! ONLINE