Menterinya, Ewon Benedick berkata, draf kertas cadangan penjenamaan semula JKKK dan JKDB Sabah sedang dilakukan yang merangkumi aspek nama institusi, tatacara keahlian jawatankuasa, bilangan keahlian, elaun dan lain-lain hal yang berkaitan.

"Kertas cadangan penjenamaan semula itu juga mengambil kira dasar baharu yang telah diumumkan oleh kerajaan persekutuan sebelum ini dan pengumuman rasmi akan dibuat oleh kerajaan negeri selepas segala perkara yang berkaitan dengan penjenamaan semula itu dimuktamadkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Abidin Madingkir (UPKO-Paginatan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Abidin ingin tahu apakah dasar baharu kerajaan negeri mengenai pelantikan pengerusi JKKK di Sabah.

Ewon berkata, berikutan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), terdapat rombakan pucuk pimpinan di seluruh negara yang mana ia turut melibatkan JKKK dan JKDB.

"Sehubungan itu, berdasarkan surat pekeliling Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) pada 17 Mei lepas, kerajaan negeri turut diminta untuk menangguhkan sementara semua urusan berkaitan JKKK termasuk urusan pelantikan, pertukaran, bayaran elaun dan lain-lain hal yang berkaitan.

"Penangguhan sementara ini berkuat kuasa sehingga dasar dan hala tuju berkaitan JKKK yang baharu ditetapkan," tambahnya. - Bernama