Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, kes pertama melibatkan rampasan 6.6 kg dadah bernilai RM330,000 manakala kes kedua membabitkan 7.74 kg dadah bernilai RM387,000.

Menurutnya, kedua-dua suspek lelaki warga India berusia 30-an itu ditahan selepas pemeriksaan dilakukan ke atas kotak yang dibawa oleh mereka.

Beliau memberitahu, pihaknya turut mendapati, sindiket menggunakan modus operandi hampir sama untuk kedua-dua kes iaitu menyembunyikan dadah di dalam ruangan khas yang diubah suai di dalam kotak tersebut.

"Hasil pemeriksaan bagi kes pertama mendapati satu bungkusan plastik lut sinar berisi serbuk putih disorokkan di ruang khas di dalam sebuah kotak berisi satu unit pengisar.

"Kes kedua pula melibatkan penemuan 15 bungkusan mengandungi serbuk putih disorok di dalam tiga unit kotak yang turut diubah suai," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Kastam Kargo FCZ di sini hari ini.

Zulkurnain berkata, siasatan lanjut mendapati kedua-dua suspek bekerja sebagai jurujual namun tiada kaitan antara satu sama lain.

"Suspek kes pertama tiba dari Hyderabad pada pukul 7.55 pagi dan pertama kali masuk ke Malaysia manakala suspek kes kedua pula tiba sehari kemudian dari Bengaluru pada pukul 1.30 pagi selain dipercayai sudah tiga kali memasuki negara ini," katanya.

Katanya, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39 (b) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori gantung sampai mati. 

"Suspek kini direman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Sepang dan akan didakwa pada hari Jumaat ini," katanya.

Sementara itu, JKDM Unit III (KLIA), Zon Tengah berjaya merampas sebanyak 62.18 kg dadah bernilai RM2.68 juta membabitkan tujuh suspek setakat 20 Jun lalu. - K! ONLINE