Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihak polis menerima maklumat mengatakan Low Taek Jho, 37, telah meninggalkan Macau melalui e-mel daripada pihak berkuasa negara berkenaan.

Katanya, pihak polis masih belum ketahui lokasi terkini Jho Low dan usaha mengesannya sukar berikutan dia dipercayai menggunakan banyak pasport.

“E-mel yang diterima pada 9 Julai memaklumkan bahawa Jho Low telah meninggalkan negara itu dan pergi ke destinasi yang tidak disebutkan.

“Polis Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan notis merah terhadap Jho Low dan itu sudah memadai untuk mana-mana negara memberi maklum balas sekiranya dia berada di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis ke-211 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Turut hadir pada program itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Pusat Darah Negara, Dr. Noryati Abu Amin. 

Kosmo! hari ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memohon bantuan Macau supaya mencari dan menangkap Jho Low. - K! ONLINE