Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPS) dalam satu kenyataan memaklumkan sekolah yang terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Johan Setia, SK Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun.

Menurut JPS, mana-mana sekolah di negeri ini yang mendapati bacaan IPU di kawasan mereka melebihi 200, pihak pentadbiran perlu mengambil tindakan seperti mana dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Bilangan 1/2019 dengan menutup institusi itu serta-merta sehingga keadaan kembali pulih.

"Penutupan sekolah tidak menjejaskan pelaksanaan semua jenis peperiksaan termasuk peperiksaan awam dan akan diteruskan seperti dijadualkan.

"Semua sekolah terlibat diingatkan supaya merujuk kepada surat siaran KPM berkaitan perkara ini dan mengambil tindakan selaras dengan kenyataan dalam surat berkenaan," kata kenyataan itu.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan Selangor, Muhamad Radzi Abdullah ketika dihubungi Bernama memaklumkan, tempoh penutupan ketiga-tiga sekolah tersebut adalah bergantung kepada bacaan IPU semasa.

"Sekiranya bacaan IPU menurun di bawah 200, sekolah akan dibuka semula seperti biasa, pihak sekolah harus mengikuti perkembangan bacaan IPU dan bertindak mengikut pekeliling yang dikeluarkan KPM itu," katanya.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar setakat pukul 10 pagi, bacaan IPU di Johan Setia adalah 213, Shah Alam (133), Klang (136), Banting (123), Petaling Jaya (125) dan Kuala Selangor (139).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya). - Bernama