Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, kawasan terlibat adalah Nilai, Seremban dan Port Dickson.

"IPU menunjukkan bacaan tidak sihat di tiga kawasan iaitu di Nilai IPU 151, Seremban IPU 121 dan Port Dickson IPU 105.

"Jabatan kesihatan telah meningkatkan pemantauan penyakit berkaitan jerebu iaitu jangkitan saluran atas pernafasan (URTI), asma dan sakit mata (conjunctivitis) di klinik-klinik “sentinel” di daerah terlibat," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Veerapan berkata, gejala akibat terdedah kepada jerebu termasuk bersin, kerengsaan mata, hidung berair, batuk dan sakit tekak disebabkan oleh kehadiran bahan pencemar di udara.

Menurut beliau, mereka yang mempunyai masalah perubatan mungkin mengalami gejala yang lebih teruk seperti kesukaran bernafas dan sakit dada. 

Jelas beliau, kumpulan yang berisiko semasa jerebu termasuk bayi dan kanak-kanak, warga emas, pesakit jantung dan paru-paru, perokok serta pekerja yang terdedah kepada udara luar.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai di kawasan terlibat mengambil langkah pencegahan bagi mengurangkan kesan ke atas kesihatan seperti berikut:

  1.  Kurangkan aktiviti fizikal yang menyebabkan peningkatan kadar pernafasan dan metabolisma badan. Keadaan itu boleh meningkatkan risiko penyakit akibat jerebu dan cuaca panas;
  2. Sentiasa berada dalam bangunan dan jika terpaksa berada di luar, gunakan penutup hidung dan mulut yang sesuai serte pelindung diri seperti payung dan topi.
  3. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.
  4.  Gunakan pendingin hawa dengan memilih operasi kitaran udara dalaman semasa memandu kenderaan.
  5. Banyakkan minum air kosong walaupun tidak terasa dahaga sekurang-kurangnya lapan gelas sehari bagi mengekalkan tahap hidrasi untuk mengawal-atur suhu badan.
  6. Kerapkan mandi bagi menyejukan badan. Elakkan memakai pakaian yang tebal, ketat dan berwarna gelap bagi membantu proses kehilangan haba dari badan.
  7. Jika mampu pasang alat pendingin hawa dan penapis udara berkecekapan tinggi di rumah bagi menapis partikel halus dan menghalang kemasukan pencemaran udara dari luar.
  8. Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya berasa tidak sihat.