Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus berkata, daerah yang terlibat ialah Kuching, Samarahan, Padawan, Serian, Sri Aman, Betong, Bau dan Lundu.

Bagaimanapun, katanya, peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di sekolah terlibat berjalan seperti biasa.

"(Penilaian penutupan sekolah) akan mengikut bacaan IPU setiap pukul 6 petang kerana keputusan perlu dibuat untuk esok hari.

"Jadi melihat kepada keadaan kualiti udara sekarang ini (hari ini), maknanya mereka (pihak sekolah) kena buat persediaan untuk buka sekolah esok kalau trend bacaan IPU terus menurun," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pagi ini, sebanyak 50,000 topeng muka sekali lagi diserahkan pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk diedarkan kepada sekolah-sekolah di seluruh Sarawak. - Bernama