Duta Besar Jepun ke Malaysia, Dr. Makio Miyagawa berkata, teknologi yang ditawarkan oleh syarikat Jepun itu akan membantu memastikan pelepasan pantas pemeriksaan imigresen apabila penumpang melakukan perjalanan antara Malaysia dan Singapura.

"Jika penumpang terpaksa mengambil masa yang lama di Imigresen, maka sistem keretapi berkelajuan tinggi tidak akan menjadi efisien dan memanfaatkan penumpang," katanya kepada Bernama ketika mengunjungi ibu pejabat agensi berita itu di sini hari ini.

Miyagawa berkata, antara kekuatan Jepun dalam bidaan itu ialah kepelbagaian pakej pembiayaannya, termasuk terbitan bon sukuk, sambil menambah bahawa kos keseluruhan projek tersebut bergantung kepada kekerapan, kelajuan dan sistem imigresen yang diperlukan. 

Duta itu berkata, rekod kemalangan sifar keretapi peluru Jepun atau Shinkansen sejak diperkenal pada 1964 akan turut menjadi satu lagi faktor kukuh dalam bidaannya ke atas projek HSR yang dianggarkan bernilai RM50 bilion hingga RM60 bilion itu.
 
"Negara kami adalah yang pertama di dunia mencipta teknologi keretapi berkelajuan tinggi dan ia kini mampu bergerak dalam kelajuan antara 250 hingga 320 kilometer sejam. Sistem keselamatan Shinkansen sendiri memastikan bahawa kereta api itu tidak akan berlanggar dengan kereta api lain yang menggunakan landasan sama," jelas beliau.

Miyagawa berkata, stok guling lebih ringan yang ditawarkan Jepun juga bermakna jumlah elektrik yang diperlukan untuk mengendali HSR adalah lebih kecil, selain memastikan landasan tahan lebih lama kerana tidak banyak geseran berlaku antara landasan dan kereta api.

Beliau berkata, Jepun lebih daripada gembira untuk memindahkan teknologi Shinkansen kepada Malaysia dan Singapura bagi memastikan pakar kedua-dua negara dapat mengendalikan sistem itu sendiri sebaik ia memulakan operasi.

"Kami sudahpun menawarkan teknologi Shinkansen kepada Taiwan dan kini mereka mengendalikan sistem itu sendiri. Selain itu, lebih 150 pakar kami ketika ini berusaha memindahkan teknologi tersebut kepada India bagi projek HSR sepanjang 500 kilometer antara Mumbai dan Ahmadabad," katanya.

Bidaan untuk projek HSR KL-Singapura dijangka diserah menjelang pertengahan tahun ini dan pembida yang berjaya akan diketahui pada akhir tahun. 

Selain Jepun, tiga lagi negara iaitu China, Korea Selatan dan Perancis turut membida projek itu yang dijangka beroperasi menjelang 2026.

HSR sepanjang 350 kilometer itu bertujuan mengurangkan tempoh perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit berbanding empat hingga lima jam ketika ini. - Bernama