Jenazah tiba ke Tanah Perkuburan Islam Tambun pada pukul 7.45 pagi sebelum urusan pengebumian selesai kira-kira dua jam kemudian. 

Turut hadir Panglima Gerup Gerak Khas (GGK), Mejar Jeneral Datuk Hassan Ali dan Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Malik Razak Sulaiman. 

Suasana hiba menyelubungi majlis pengebumian yang dihadiri lebih 1,000 orang termasuk ahli keluarga, saudara-mara, pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta penduduk kampung. 

Bacaan talkin disempurnan Pegawai Agama Markas 2 Briged, Leftenan Kolonel Titan Abdul Wahab. 

Selesai pengebumian, pelakon veteran yang juga bapa arwah, AR Badul dan isteri arwah, Nour Shafinar Harun serta anak-anak menyiram dan menabur bunga di pusara Allahyarham.

Jalur Gemilang turut disampaikan Pagawai Memerintah Rejimen 11 Gerak Khas, Kolonel Zulkinine Mohd. Yunus kepada Nour Shafinar. 

Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sempat menziarahi ahli keluarga Allahyarham di kediaman mereka di Taman Perpaduan di sini pada pukul 6.45 pagi. 

Allahyarham Mejar Mohd. Zahir yang merupakan Pegawai Komando 11 Rejimen GGK maut terkena tembakan ketika melakukan demonstrasi latihan sempena Pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah semalam. 

Beliau kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 9.20 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. - K! ONLINE