Bapa mangsa, Ismail Abdul Raffar, 62, berkata, menantunya, Mohd. Hafiz Mohd. Kassim, 30, telah memaklumkan dia sudah tiba di Lombok tengah hari semalam menerusi aplikasi WhatsApp.

Katanya, Mohd. Hafiz juga memaklumkan bahawa jenazah isterinya akan dibawa menerusi penerbangan dari Pulau Lombok ke Jakarta kira-kira pukul 9 pagi esok (waktu tempatan).

“Dari Jakarta, jenazah kemudiannya akan menaiki penerbangan ke Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebaik selesai urusan dokumentasi yang dijangka mengambil masa selama dua hingga tiga jam.

“Jenazah dijangka tiba seawal pukul 3 petang esok sebelum dibawa ke Masjid Al-Rahimah, Kampung Pandan di sini untuk disembahyangkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Ismail menambah, mereka masih menanti surat pengesahan kematian anaknya bagi urusan pengebumian dan merancang untuk mengebumikan jenazahnya di Tanah Perkuburan Islam Batu Muda di sini selepas selesai disembahyangkan nanti.

“Menantu saya, Mohd. Hafiz, telah menaiki penerbangan ke Lombok kira-kira pukul 8 pagi tadi.

“Saya telah dimaklumkan olehnya bahawa dia telah menaiki penerbangan secara berseorangan pagi tadi (semalam) bagi urusan membawa pulang jenazah anak saya,” ujarnya.

Kosmo! semalam melaporkan Siti Nur iIesmawida adalah rakyat Malaysia yang terkorban dalam kejadian gempa bumi kuat berukuran 6.4 skala Richter yang menggegarkan destinasi pelancongan popular Pulau Lombok, Indonesia kelmarin.

Menurut Ketua Polis Lombok Timur, M. Eka Fahurrahman, mangsa terkorban akibat ditimpa runtuhan tembok bangunan inap desa yang didiami.

Seramai 18 warga Malaysia dalam misi mendaki Gunung Rinjani, enam cedera manakala yang lain selamat dan mangsa kini ditempatkan di Klinik Sembalun, Lombok. - K! ONLINE