Mahadzir Lokman, 61, disemadikan di sebelah pusara ibunya, Datin Nina Khadijah Abdul Rahman yang meninggal pada 2013.

Adik bongsu Mahadzir, Ida Lokman memberitahu, ia adalah permintaan Allahyarham yang mana dia sangat rapat dengan ibunya.

"Arwah ibu dan abang (Allahyarham) sangat rapat. Kalau boleh dia nak bawak ibu ke mana sahaja termasuk ke acara yang dia hadiri.

"Semua orang tahu, abang menjaga ibu dengan baik sekali sehingga berpesan agar jasadnya disemadikan di samping ibunya," katanya ketika ditemui selepas selesai upacara pengebumian di sini pagi tadi.

Lebih 200 orang yang terdiri daripada ahli keluarga terdekat, sanak-saudara, sahabat handai, rakan-rakan media hadir pada upacara pengebumian.

Terdahulu, jenazah disembahyangkan di Masjid Kolej Islam Malaya (Masjid UIA PJ), Petaling Jaya kira-kira pada pukul 9.15 pagi.

Jenazah  telah dibawa pulang dari  Kota Kinabalu kira-kira pada pukul 9.25 malam semalam menaiki penerbangan Malaysia Airlines dengan menggunakan pesawat MH2639 dan tiba di kediaman keluarganya di Petaling Jaya pada pukul 2 pagi tadi.

Allahyarham menghembuskan nafasnya yang terakhir di sebuah hotel di Kota Kinabalu, Sabah kira-kira pukul 6 pagi semalam. - K! ONLINE